Home » , » Novel : Kalimah Cinta Bab 20

Novel : Kalimah Cinta Bab 20

Written By Tiara on Saturday, 24 December 2011 | 08:39


Aku melabuhkan punggung di atas katilku, terasa lenguh sekali seluruh badanku dek kerana asyik mengemas rumah yang berantakan angkara majlis pertunanganku siang tadi. Dinding bilik aku pandang kosong, cuba memusatkan ingatan pada sesuatu yang aku hampir terlupa.
‘Hadiah Iman!’ saat teringat kembali, aku pantas mengeluarkan kotak hadiah itu dari laci tepi katil itu. Kotak kecil itu segera kukoyak pembalutnya hingga satu kotak berwarna biru baldu terserlah.
Aku membuka kotak kecil itu dengan berhati-hati. Satu rantai tangan emas dengan hiasan berbentuk hati duduk elok tersimpan di dalamnya. Aku terkesima.
‘Ya Allah! Mahalnya hadiah ni...’ aku risau, teragak-agak hendak menerimanya. Rantai tangan itu aku gapai dan aku cuba di pergelangan tanganku. Begitu indah sekali rantai itu, namun sayangnya aku rasa tidak sanggup hendak memakainya kerana ia hanya akan tambah mengingatkan aku pada Iman.
Saat ingin meletakkan rantai tangan itu kembali, baru aku perasankan satu kad kecil yang terselit di dalam kotak itu. Kad itu kucapai lalu kubaca perlahan.
Buat kesayanganku, Ila.
Tahniah di atas pertunangan ini. Iman bahagia bila melihat Ila bahagia, walaupun kebahagiaan Ila itu dengan orang lain.
Iman tahu semua ini berpunca dari kesalahan Iman yang tidak berterus terang dengan Ila selama ini.
Iman akan cintai Ila sampai syurga, walau kita tak berjodoh di sini, Iman berdoa agar Allah menjodohkan kita di akhirat kelak. Amin.

Aku menangis, tersedu sedan tapi aku tidak terasa hendak menyeka air mataku yang laju berhamburan di pipi.
‘Iman...’ hatiku merintih sendiri.
-----------------------------------------------------------
“Ila bahagia tak?”
“Hah?” aku tersedar dari lamunan sebaik mendengar suara Safwan di hadapanku.
“Ila rasa bahagia tak?” Safwan mengulang soalannya, membuatkan aku mengangguk perlahan.
“Bahagia. Sesiapa yang dapat bakal suami macam Wan, mesti akan rasa bahagia.” Aku bersuara akhirnya.
Safwan tergelak kecil.
“Wan tahu. Siapa yang boleh tolak Wan kan?” aku tersenyum mendengar usikan Safwan itu. Air di dalam gelas, aku hirup perlahan.
“Lepas ni nak ke mana pula?” soal Safwan, bersemangat.
Aku menoleh ke arah beg kertas di sebelahku yang terisi pelbagai barang kelengkapan untuk majlis perkahwinan kami nanti.
“Hmm. Ila rasa kita kena pergi kedai pengantin yang dekat sebelah sana pulak, Ila nak pilih bekas untuk buat hantaran nanti.”
“Ok!” Safwan menguntum senyum.
Aku turut membalas senyumannya. Ah Safwan, jejaka ini terlalu baik, aku tidak akan mampu bertemu insan sebaiknya lagi, yang mencintai aku seadanya. Aku janji akan cintai dia dan bahagiakan dia. Ini janji aku!
Lagi dua minggu aku akan jadi milik Safwan, jadi aku tidak berhak untuk punya perasaan pada sesiapa lagi, terutamanya Iman. aku harus hapuskan semua perasaan ini. Harus!
“Ila...” Safwan memanggilku dengan suara lembut.
“Hmmm...”
“Wan cintakan Ila. Wan janji akan jaga Ila sebaiknya sampai akhir nafas Wan.” Safwan tiba-tiba bernada serius, wajahku direnungnya dengan pandangan tajam.
Aku mengangguk seraya tersenyum.
“Ila tahu. Ila pun cintakan Wan.” ya, aku tidak berbohong, kerana saat ini memang aku sedang berusaha mencintainya dan aku tahu, biarpun masih sedikit, namun cinta itu ada untuknya.
Safwan tersenyum tanpa berkata apa lagi.
Salam
Share this article :

0 komentar:

Post a Comment

Blog Archive

 
Support : negeriterkaya.com | buzpot | djavaspot
Copyright © 2014. zetzat - All Rights Reserved
Created by Published by Arjuna