Zaara keluar dari kereta Audi S4 itu dengan terhencut-hencut, berusaha untuk berjalan sendiri. Dia tidak mahu lagi menyusahkan Irham yang sudah bersusah payah menjemputnya dan menghantarnya ke klinik, apatah lagi suaminya itu kelihatan tidak puas hati dengan alasannya tadi. Kakinya yang masih sakit, digagahi untuk melangkah.
Irham pantas mendapatkan Zaara setelah menutup pintu keretanya, badan Zaara segera dicempung, enggan membenarkan gadis itu berjalan sendiri. Zaara yang terkejut, meronta-ronta dalam rangkulan Irham itu.
“Ish kenapa ni? Malulah, turunkan saya. Takkanlah nak dukung saya sampai ke atas!” Zaara menolak-nolak tubuh Irham yang kejap mencempungnya. Irham cuma diam, tanpa menghiraukan rontaan Zaara.
“Lepaskanlah!” Zaara tidak beralah membuatkan Irham menjeling Zaara dengan pandangan tajam.
“Diamlah! Kang aku lepaskan kau atas lantai batu ni baru kau tahu!” Irham bersuara sebelum memandang ke hadapan semula. Zaara jadi kaku, tidak berani melawan Irham. Siapa yang berani melawan lagi bila mendengar jerkahan seumpama singa betina itu.
Selepas pintu rumah dibuka Mak Tom, Irham terus membawa langkahnya ke tangga, Zaara cuma mampu melemparkan senyuman pada Mak Tom walaupun wajahnya terasa hangat dibalut rasa malu dicempung Irham sebegitu.
“Kenapa dengan kaki kamu tu Zaara?” Tan Sri Zahir yang memerhati sedari tadi segera menghampiri mereka apabila Irham meletakkan Zaara di atas sofa. Sejak dari tadi dia menanti kepulangan mereka dengan rasa kurang sabar, bimbang sesuatu terjadi pada menantunya itu. Puan Sri Maryam pula sudah awal-awal lagi lesap ke bilik, langsung tidak berasa ingin ambil tahu tentang keadaan Zaara.
Zaara cuma menggeleng seraya tersenyum pada bapa mertuanya itu. Segan sekali apabila dia berhadapan dengan insan yang sangat dihormatinya itu.
“Entahlah papa, menantu papa yang dah besar panjang ni jatuh tangga.” Irham bersuara sambil menggeliat kecil, melonggarkan uratnya yang tegang apabila mendukung Zaara yang boleh tahan beratnya berbanding dengan tubuh melidi Irham.
“Jatuh tangga, macam mana boleh jadi macam tu?” riak wajah Tan Sri Zahir berubah, ada kerisauan dari nada suaranya.
Zaara memandang wajah Irham, mengharapkan Irham tolong menjawab untuk dirinya kerana Zaara tidak sampai hati hendak menipu bapa mertuanya, rasa berdosa pula. Irham menyedari yang Zaara sedang melihatnya dengan pandangan meminta simpati terus membuka mulut.
“Ada mata letak kat lutut, macam tulah jadinya papa.” Irham menjeling ke arah Zaara.
“Ish kamu ni Irham, mulut tak ada insurans. Dah pergi klinik belum? Bahaya ni...” Tan Sri Zahir bersuara sambil meninjau kaki Zaara.
“Dah papa, abang Irham dah bawak Zaara tadi.” Zaara bersuara, membalas kata-kata Tan Sri Zahir.
“Hmm kalau macam tu baguslah. Sekarang pergilah naik atas berehat. Esok cuti je, tak payah kerja.”
“Baik papa.” Zaara membalas sebelum berusaha untuk bangun, ingin naik ke atas biliknya.
Tan Sri Zahir memandang Irham yang cuma memeluk tubuh, langsung tidak menghiraukan Zaara yang bersusah payah. Anak lelaki tunggalnya itu direnung tajam hingga mata mereka bertaut. Tan Sri Zahir segera mengisyaratkan Irham untuk membantu Zaara yang sudah berada di tepi tangga. Dalam keluhan, Irham bangun untuk menghulurkan bantuan pada Zaara.
“Goodnight papa.” Irham bersuara sebelum melangkah ke arah Zaara, Tan Sri Zahir cuma menghadiahkan senyuman. Bahagia melihat keduanya.
“Dah, meh aku tolong. Kang jatuh lagi sekali siapa nak jawab?” Irham bersuara pada Zaara yang sedang meniti tangga itu satu persatu. Zaara cuma mencebik, malas hendak membalas kata-kata Irham yang hanya menyakitkan telinganya.
“Mari sini.” Irham bersuara sambil menarik Zaara dalam cempungannya semula. Langkahnya diatur satu persatu dengan berhati-hati, risau dirinya ikut terjatuh. Zaara cuma mendiamkan diri saat diperlakukan begitu, tidak berasa hendak melawan Irham lagi.
------------------------------------------
Irham membuka pintu bilik dengan berhati-hati lantas segera menghampiri katil sebelum menghempaskan tubuh Zaara ke situ.
“Eh tempat saya kat bawah la.” Zaara lurus memberitahu membuatkan Irham terdiam seketika.
“Hari ni kau tidur je atas katil. Eh, kau tidur ajelah atas tu sampai kaki kau sembuh.” Irham membetulkan katanya.
“Tapi... nanti kotor pulak katil mahal awak ni.” Zaara memerli. Kata-kata Irham sewaktu dulu masih terngiang dalam ingatannya.
Irham menjeling pada Zaara sambil membetulkan cadar dan bantal di atas katilnya.
“Jangan banyak cakap boleh tak. Dah sakit macam ni pun masih nak bertekak dengan aku. Dah aku bagi kebenaran tu, tidur ajelah.”
“Kalau saya tidur kat sini, awak nak tidur kat mana?”
“Mana-mana ajelah!” Irham membentak.
Zaara tersenyum, gembira kerana dalam kedinginannya, Irham masih punya hati dan perasaan. Zaara diam, hanya memerhati Irham yang sibuk membetulkan cadar dan menarik selimut menutupi kaki Zaara.
“Awak... terima kasih...” Zaara lembut bersuara setelah lama berjeda, memerhati Irham sedari tadi. Irham pantas memandang Zaara. Ada air jernih yang kelihatan bertakung di tubir mata isterinya itu.
“Tak apa. Kau tu je, lain kali hati-hati sikit.”
“Saya minta maaf... maaf sebab banyak menyusahkan awak, menyeksa hidup awak dengan kehadiran saya dalam hidup awak ni...” Zaara tiba-tiba terasa sayu, air matanya mula berlinangan di pipi mulusnya itu.
“Ish kau ni kenapa? Tiba-tiba emo je ni.” Irham kaget, hatinya tak keruan setiap kali melihat air mata gadis itu.
Tanpa diduga, Zaara pantas merebahkan kepalanya ke dada suaminya itu sambil memeluknya erat. Kali ini tanpa berfikir panjang, dia sendiri yang merangkul tubuh itu kerana hatinya ingin sekali merasa dirinya dilindungi. Ingin sekali merasa dirinya selamat di dalam pelukan itu. Selamat dari segalanya, selamat dari Faisal yang mengganggu hidupnya. Faisal? Ah bayangan kejadian tadi kembali menerjah ingatannya membuatkan Zaara menangis teresak-esak.
“Ish kenapa tiba-tiba ni?” Irham menolak-nolak tubuh Zaara yang memeluknya erat. Dadanya terasa basah dengan linangan air mata gadis itu.
Zaara enggan melepaskan tangannya yang melingkari pinggang Irham, sebaliknya tangan itu makin kejap memeluk Irham dengan sendunya yang kian kuat kedengaran.
“Kenapa ni?” Irham seolah dapat meneka ketakutan yang mula membalut diri Zaara.
“Tolong... tolong jangan lepaskan saya lagi.” Zaara meminta dengan suaranya yang sudah serak dek kerana banyak menangis.
Irham membiarkan Zaara bertenang sambil menyeka air mata di pipi Zaara.
“Cuba cerita dekat aku, apa yang terjadi? Takkanlah sebab kau jatuh tangga, kau menangis sampai macam ni sekali?” Irham menyoal.
Zaara pejam matanya rapat-rapat, enggan bersuara. Kepalanya digeleng-gelengkan tanda enggan menjawab.
“Zaara?” Irham menyoal lagi namun hanya sendu Zaara yang kedengaran membuatkan Irham membiarkan saja dirinya diperlakukan sebegitu. Jemarinya perlahan-lahan hinggap di bahu Zaara sebelum menggosoknya lembut, cuba mententeramkan hati Zaara yang tak keruan.
------------------------------------------------------
“Tolong, lepaskan saya.. tolong lepaskan saya...” suara Zaara yang meracau-racau di atas katil membuatkan Irham yang baru hendak terlelap di atas kerusi empuk berdekatan katil itu terjaga. Pantas Irham mendekati Zaara yang tidak henti meminta tolong, hatinya berasa cemas, risau kalau-kalau Zaara disampuk sesuatu.
“Zaara, Zaara, wei bangun! Kenapa dengan kau ni?” Irham menolak-nolak tubuh Zaara yang meronta-ronta tidak berhenti. Dadanya berdebar, bimbang sesuatu yang buruk berlaku pada gadis itu. Zaara akhirnya membuka mata dan menangis semahunya saat melihat Irham di hadapannya tika itu. Tubuh suaminya itu dirangkul erat, enggan melepaskan Irham pergi dari sisinya.
“Kenapa ni? Tak pernah-pernah kau mengigau, tiba-tiba malam ni kau meracau sampai macam ni. Kenapa?” Irham menyoal Zaara namun Zaara terlalu takut untuk berkata-kata. Bibirnya bergetar dek diselubungi peristiwa hitam itu.
“Tolong beritahu aku, jangan buat aku risau macam ni.” Irham berbisik lembut ke telinga Zaara, tidak pasti isterinya itu mendengar atau tidak.
“Zaara...” Setelah membiarkan Zaara tenang dalam pelukannya seketika, Irham cuba memanggil Zaara sekali lagi tetapi Zaara sudah terlelap. Irham cuba merungkai pelukan Zaara yang kejap dilehernya, namun desahan nafas Zaara yang kian berombak apabila Zaara memegang tangannya membuatkan Irham tak jadi memaksa gadis itu melepaskan pelukan itu.
Wajah polos gadis di hadapannya itu direnung, wajahnya basah dengan linangan air mata, ada desahan ketakutan pada nafasnya. Perlahan Irham menyeka pipi Zaara yang mulus seraya turut berbaring di sisinya.
0 komentar:
Post a Comment